Mukaddimah

Assalamualaikum warahmatullahi barakaatuh.

Mari kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah Taala atas limpahan rahmat dan nikmatnya. Selawat dan salam ke atas Baginda Junjungan kita Nabi Muhammad saw. , keluarga Baginda serta para sahabat Baginda Ridzuanallahu Ajma’iin.

Setelah saya mempelajari bahasa Arab yang mengambil masa yang agak lama sepuluh tahun, saya merasai kesunyian kerana tidak ada orang yang boleh bercakap bahasa Arab. Jadi, saya hendak ajak mereka buat teman berbincang. Sehingga mereka pandai berbahasa Arab dan berbincang dengan menggunakan bahasa Arab Fus’hah. Mempelajari bahasa Arab adalah fardhu kifayah. Jangan kita salah mengerti dan kita kata ‘Farhdu kifayah, orang lain dah buat, aku tak payah’.

Namun ia fardhu kifayah, tetapi ia tetap fardhu. Fardhu lebih berat dari wajib. Dalam mencari harta dunia, kita kalau boleh hendak lebih daripada orang lain tetapi kalau mencari ilmu, kita tidak terbakar pun melihat orang lain lebih daripada kita. Bukankah Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11

“Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (di angkat) beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Di dunia lagi Allah telah tunjukkan bagaimana orang yang berilmu itu dinaikkan darjat walau kafir sekali pun. Allah Taala meninggikan darjat yang tinggi dari segi ilmu dunia (ilmu secular) mengikut kebijaksanaan seseorang. Lebih-lebih lagi kalau dia mempunyai ilmu pengetahuan agama yang langsung daripada pencipta alam semesta.

Kita juga sedia mengetahui bahawa untuk keduniaan pun kena berilmu. Jika tidak harta kita akan dicuri oleh orang yang bijak. Contohnya jika kita hendak buat perniagaan online tetapi kita tidak tahu bagaimana internet itu berfungsi. Kita mendapat tawaran bekerja di rumah di depan PC dan tidak payah berjalan ke mana-mana untuk mempromosikan laman web kita. Lebih mudah dari perniagaan konversianal atau tradisional. Orang cacat anggota pun boleh lakukannya.

Tetapi sayang, kita tidak cukup ilmu ICT menyebabkan kita tertinggal ke belakang sedangkan orang lain mendapat hasil dan kaya dengan melayari internet.

Apa sahaja walau pun paling mudah seperti memasak nasi, kalau tidak mengetahui kaedah memasak dengan betul, maka nasi itu tidak dapat dimakan, mentah kerana air tidak seimbang dengan beras. Jika terkurang air, nasi menjadi mentah dan jika terlebih air, nasi akan menjadi bubur. Begitulah juga perumpamaan belajar kaedah nahu untuk bercakap Arab dengan lebih baik lagi.

Kesedaran perlu dibina kepada anak-anak dari awal lagi mengenai kepentingan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa terunggul sejak dari awal zaman lagi. Oleh kerana itu, Allah memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar untuk hambaNya beribadah. Allah akan menerangkan kefahaman agamaNya melalui bahasa ini. Seseorang itu akan diiktiraf ulamak apabila menguasai bahasa Arab Fus’hah.

Menurut Dr Ramadan Abdul al-Tawwab (1994) dalam kitabnya Fiqh al-‘Arabiyyah, bahasa Arab adalah satu rumpun daripada susur galur bahasa Semitik yang dinisbahkan kepada seorang daripada anak Nabi Nuh AS dan orang pertama memperkenalkan istilah semitik ini ialah seorang orientalis bernama Schlozer. Bahasa ini berkembang dan turut dipelajari pelbagai bangsa di serata dunia. Bahasa ini bukan saja menjadi bahasa ibunda bagi hampir 280 juta penduduk Arab di serata dunia, bahkan bahasa ini menjadi bahasa penting bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia kerana kitab suci Al-Quranul Karim diturunkan dalam bahasa Arab.

Bahasa Arab mempunyai pengaruh yang amat besar sehingga bahasa Melayu mengandungi perkataan yang berasal daripada bahasa Arab dianggarkan di antara 2000 hingga 3000 jumlah patah perkataan. Huruf hijaiyah Arab pula digunakan dalam penulisan Jawi.

Saya suka memberi pendekatan mudah beserta kaedah mudah yang paling asas. Tambahan pula kerana ada bahasa melayu yang diambil dari perkataan bahasa Arab itu akan memudahkan lagi untuk kita memahaminya. Satu lagi, istilah dalam kaedah nahu akan disertakan dengan kegunaannya sekali.

Saya harap dengan khidmat yang sedikit ini dapat membantu para pembaca yang budiman supaya melonjak ke pintu gerbang kejayaan, tidak kira penuntut ilmu, pelajar sekolah, guru yang mengajar bahasa Arab atau orang awam. Kaedah yang diberikan ini adalah tidak ternilai jika hendak dibandingkan dengan wang berjuta atau dibandingkan dengan seisi dunia ini.

Kaedah ini sebenarnya terkandung rahsia yang akan dibongkarkan nanti kerana sifat ihsan dan belas kasihan melihat ramai yang berminat tetapi tidak tahu cara yang memudahkan bagi mempelajari bahasa Arab melalui mukjizat Al-Quranul Karim.

Sekian
Penulis (Zulfikri Othman)




Translate

Bismilah walhamdulilah, wassolatu „ala Rasulillah.

Assalamualaikum saudara dan saudariku,


Al-Quran sebenarnya adalah bahasa yang tertinggi dan kaya dengan sastera kerana ia bukan perkataan manusia tetapi adalah perkataan Pencipta manusia.


Namun walaupun ia tinggi dengan kesusteraan Arab, ia telah dimudahkan oleh Allah untuk mempelajari, mengingati dan memahami kaedah-kaedah nahu yang terdapat di dalamnya.


Tidak dapat disangkal di dalam Al-Quran atau hadis-hadis sahih seperti yang kita ketahui tentang bahasa diucapkan oleh penghuni syurga, yang terkandung di dalam hadits ini berlaku.


Diriwayatkan oleh Thabrani dari Timur dan Hakim Al-Baihaqi pada bab Cabangan Iman dari Ibnu Abbas ra. dengan dia berkata: Rasulullah saw bersabda: (Cintailah bahasa Arab kerana tiga alasan, saya seorang Arab, Al-Quran adalah bahasa Arab dan kata-kata para penghuni surga adalah bahasa Arab).


Thabrani meriwayatkan dalam al-Awsat dari Abu Hurairah, ra. dengan dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: (Saya seorang Arab, Quran adalah bahasa Arab, dan penghuni syurga juga menuturkan bahasa Arab). Hadis ini hasan


Ada 2 jenis bahasa iaitu Fus’hah dan ‘Amiah. Bahasa ‘Amiah (bahasa rojak) dituturkan pada zaman moden ini dan ia bukanlah bahasa syurga. Bahasa Fus’hah adalah bahasa yang dituturkan oleh Baginda Nabi dan yang inilah bahasa syurga.


Al-Quran adalah bahasa Fus’hah. Saya terkilan dengan bahasa ‘Amiah kerana ia merosakkan bahasa Fus’hah yang tidak mempunyai makna perbendaharaan bahasa Arab. Ia hanya bercampur aduk dengan bahasa lain seperti bahasa inggeris, parsi dan lain-lain. Dengan itu keaslian bahasa arab semakin pupus dek zaman.


Oleh kerana para alim ulamak dan cendekiawan Arab masih suka menuturkan bahasa Fus’hah maka wujudlah kesinambungan bahasa yang terbaik ini. Tetapi ramai orang Arab yang jahil, mengikut arus zaman dan bahasa Fus’hah ini tenggelam dengan suara hiruk pikuk ‘Amiah kerana kesibukan harian dan percampuran dengan bangsa lain.





Popular Posts

Blogroll